Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan menafikan sebarang pembabitannya dalam gerakan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang dihubungi BH sebentar tadi juga menafikan tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menandatangani sebarang deklarasi, termasuk ‘Deklarasi Rakyat’ yang dibawa Dr Mahathir, semalam.
Katanya, pemakluman mengenai namanya turut disenarai dalam senarai individu yang menandatangani deklarasi itu diketahui menerusi anaknya pagi ini.
“Saya tidak tahu apa-apa, saya tidak pernah terbabit dengan deklarasi ini dan (gerakan) Tun Dr Mahathir. Saya hanya tahu (perkara) ini pagi tadi menerusi anak saya,” katanya.
Zaman Khan memaklumkan beliau kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan keadaannya stabil.
“Malam kelmarin saya dilawati (Presiden PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, dan kami memang ada berbincang mengenai perkara ini, saya tahu mengenai deklarasi yang Dr Mahathir bawa, tapi saya tidak terbabit langsung,” katanya.
Justeru, beliau melahirkan kekecewaannya kerana mengheret namanya sebagai antara individu yang disenarai sebagai menandatangani deklarasi itu semalam.
Dalam majlis di Pusat Alumni Universiti Malaya, nama Zaman Khan antara yang disebut menandatangani deklarasi itu biarpun beliau tidak hadir.
Nama lain disebut dan tidak hadir, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.