KUALA LUMPUR: Kakak diberi racun atau dadah sementara adiknya pula dihentak di kepala.
Itu kemungkinan yang sedang disiasat polis berhubung punca kematian dua beradik yang ditemukan maut bersama bapa mereka di sebuah rumah di tingkat dua Apartmen Nova, Sri Sinar Segambut, di sini semalam.
Difahamkan, Cheah Kai Sze, 3, yang dipercayai telah diberi racun atau dadah, mati seminggu sebelum mayatnya ditemukan sementara adiknya, Cheah Kai Wen yang berusia tujuh bulan dipercayai maut akibat kepalanya dihentak dengan benda tumpul dua hari selepas kakaknya meninggal dunia.
Bapa kedua-dua beradik itu pula, Cheah Hing Soon, 34, dipercayai mati akibat memakan racun atau dadah pada Sabtu lalu iaitu dua hari sebelum mayatnya ditemukan oleh isterinya.
Polis juga sedang menyiasat kemungkinan ibu kedua-dua kanak-kanak itu mengetahui kematian mereka lebih awal dan menyembunyikannya. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy ketika dihubungi mengesahkan kesemua kemungkinan tersebut namun menegaskan siasatan masih berjalan.
Beliau juga mengesahkan telah menerima laporan bedah siasat awal pada petang ini.
Bagaimanapun menurutnya, hanya keputusan bedah siasat kematian Kai Wen yang lengkap iaitu akibat kecederaan hentakan di kepala sementara laporan kakak dan bapanya masih dalam siasatan lanjut oleh pihak hospital dan Jabatan Kimia.
“Proses bedah siasat terhadap dua lagi mangsa masih belum selesai namun ia lebih menjurus kepada keracunan atau dadah berikutan tiada kecederaan yang ditemukan pada badan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Munusamy memberitahu, isteri mangsa, Kaw Mei Yen, 35, pula ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana memberi keterangan bercanggah ketika soal siasat awal dijalankan.
“Setakat ini, kita tidak mengambil kenyataan individu lain kecuali wanita itu dan dua lagi anak lelakinya yang berusia enam dan lapan tahun,” ujarnya.
Akhbar hari ini melaporkan dua beradik itu ditemukan maut di dalam bekas simpanan barang di sebuah rumah di Apartmen Nova, Sri Sinar Segambut, di sini dipercayai dibunuh.
Turut ditemukan mayat bapa kepada dua beradik itu dalam keadaan terlentang di bilik utama kediaman berkenaan.
Sementara itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Lim, 26, mendakwa, dia sering mendengar Hing Soon memarahi dan memukul anak-anaknya.
“Mereka hidup dalam kesempitan dan isterinya sering meminjam wang dan barang keperluan. Setiap kali pinjam dia hanya minta RM20,” dakwanya.
Seorang lagi jirannya yang dikenali sebagai Loh, 70, pula mendakwa, dia mendengar pasangan itu bergaduh besar pada Sabtu lalu dan terkejut apabila mengetahui Hong Soon serta dua anaknya telah meninggal dunia semalam.