Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan perlu berhenti mengulangi perkataan ‘hutang’, kata Daim Zainuddin.
Sebaliknya Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penasihat Kerajaan itu berkata kerajaan persekutuan perlu tumpu kepada usaha membuktikan semua manifesto sebelum pilihan raya yang lalu dapat ditunaikan.
Tambah beliau, rakyat sudah tentu sudah muak mendengar perkataan itu yang diutarakan hampir setiap hari oleh semua pemimpin daripada gabungan Pakatan Harapan termasuklah menteri-menterinnya.
“Rakyat tak nak dengar pasal hutang, itu cerita lama. Tapi kerajaan perlu perbetulkan, itu soal pengurusan.
“Kalau kerajaan kata ada hutang, itu soal kerajaan (yang perlu diselesaikan). Kerajaan kena bayar. Rakyat hanya tahu harga mesti turun, pendapatan mesti meningkat. Ini tanggungjawab kerajaan,” kata Daim ketika ditemui pada program bersama penduduk Felda di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor.
Bukan sahaja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malah menteri-menteri lain termasuklah pemimpin dalam gabungan itu sering menggunakan isu hutang negara yang didakwa ditinggalkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Tambah Daim manifesto itu merupakan sesuatu yang boleh dilaksanakan, namun ia memerlukan tumpuan kerajaan.
“Boleh buat bukan tak boleh buat. Tumpukan perhatian pada manifesto ini. Mungkin perlu sedikit masa tapi perhatian perlu diberikan.
“Menteri mesti selesaikan masalah. Semua tahu masalah, tapi kalau mahu cerita hari-hari kita pun jemu,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya pada program itu, Daim menyebutkan bahawa kerajaan PH perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.
Sekiranya tidak, katanya, pembangkang akan menjuarai isu berkenaan.-SuaraTv