Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar mendedahkan DAP tidak pernah membantu melawan komunis di Malaysia semasa zaman darurat dulu.
Menurutnya, tiada langsung dasar anti Parti Komunis Malaya (PKM) dilafazkan pemimpin parti itu tatkala pejuang negara berkorban menentang perjuangan komunis.
Tambah beliau, bukan sahaja DAP, Pas juga tidak membantu malah pernah melabel anggota tentera dan polis yang terkorban semasa menentang komunis sebagai ‘mati katak’, bukan ‘mati syahid’.
“Masa lawan komunis dulu, DAP tak pernah membantu. Sepatah dasar anti PKM pun tidak pernah dilafazkan. Pas pun begitu, tak pernah membantu.
“Bila ada khutbah katakan polis dan tentera yang mati lawan komunis dikira mati syahid, Pas cakap bukan mati syahid tapi mati katak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai panelis dalam Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara, di sini, hari ini.
Menceritakan semula kisahnya semasa sedang bertugas, Hanif berkata beliau sentiasa bertindak tegas terutamanya dalam menghalang sebarang percubaan mengeruhkan keharmonian kaum di Malaysia.
Tegasnya, beliau akan ‘mencantas’ apa saja percubaan ke arah itu tidak kira ia datang dari orang Melayu, orang Cina atau kaum-kaum yang lain.
“Bagi saya, ada saja percubaan, saya cantas. Dari orang Melayu saya cantas, dari orang Cina pun saya cantas,” tegasnya.
Tambah beliau, tarikh 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam yang tidak boleh dilupakan kerana tarikh itulah kemuncaknya kisah perkauman di Malaysia.
“Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.
“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.
“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” ujarnya.