“Yalah Lim Kit Siang mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu, adalah perlu pemimpin Melayu tubuh Bersatu maka kita pun kata ya, ya, ya sahaja. Kalau anda nak percaya yang itu, anda percayalah.”
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Julai ini bagi meminda perlembagaan berkaitan pemilihan parti, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata pindaan itu bagi membolehkan ahli biasa memainkan peranan dalam menentukan pemilihan jawatankuasa peringkat cawangan dan bahagian manakala perwakilan bahagian pula menentukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti.
Mengenai cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, Dr Mahathir ketika bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini berkata tiada cadangan seperti itu.
Beliau berkata semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan kepada semua ahli Bersatu yang berdaftar pada pemilihan tersebut.
“Mereka perlu mendaftar kesediaan mereka bertanding, dan untuk mendaftar mereka perlu ahli yang membayar yuran penuh, kemudian mereka boleh mendaftar sekiranya mereka berhasrat menjadi calon untuk jawatan Presiden atau Pengerusi, Timbalan Pengerusi, atau apa sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata pemilihan Bersatu perlu diadakan secepat mungkin memandangkan kepimpinan parti ketika ini adalah dilantik.
Bersatu sepatutnya mengadakan pemilihan pertamanya pada tahun ini selepas tiga tahun parti itu ditubuhkan.
Mengenai dakwaan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak bahawa penubuhan Bersatu adalah cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Dr Mahathir secara sinis berkata: “Yalah Lim Kit Siang mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu, adalah perlu pemimpin Melayu tubuh Bersatu maka kita pun kata ya, ya, ya sahaja. Kalau anda nak percaya yang itu, anda percayalah.”
Ditanya mengenai kenyataan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman bahawa beliau turut hadir dalam satu mesyuarat berkaitan perkara itu, Dr Mahathir berkata: “Orang yang kata itu saya ingat perlu pergi Tanjung Rambutan”.
Hamidah hari ini mendedahkan beliau merupakan pemberi maklumat kepada Najib mengenai cadangan Lim untuk Dr Mahathir menubuhkan Bersatu.
Hamidah mendakwa beliau turut hadir dalam satu mesyuarat dipanggil oleh Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, ketika itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin lain selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilihat gagal membuahkan sebarang impak. — Bernama
[VIDEO] NAJIB DEDAH KIT SIANG CADANGKAN PENUBUHAN BERSATU