KOTA BHARU: Seorang pengetua sekolah agama didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas enam pertuduhan merogol, mencabul dan melakukan seks oral terhadap pelajarnya dalam kejadian antara Januari 2018 sehingga September tahun ini.
Tertuduh, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Fadzil Wan Omar.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyentuh badan dan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di pejabat pengetua di sebuah sekolah agama, di Machang jam 10 pagi, pada 26 Januari 2018.
Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di lokasi sama, jam 10 pagi pada 23 Februari 2019.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan maksud seksual menyebabkan mangsa menghisap kemaluannya dalam kejadian pada 22 Februari lalu dalam sebuah kereta jenis Honda BRV, antara jam 9.30 malam hingga 11.30 malam di tepi Jalan Machang-Kuala Krai.
Pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di pejabatnya pada jam 10.30 pagi 22 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa dengan maksud seksual menyentuh kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun pada 15 September lalu.
Bagi pertuduhan pertama dan keenam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Hajarul Falenna memohon agar tiada sebarang jaminan ditetapkan untuk tertuduh.
Wan Fadzil pula dalam rayuannya memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan ikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin untuk enam pertuduhan.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
Mahkamah menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes dan keputusan laporan perubatan.