Ahli-ahli Parlimen PAS akan kemukakan Usul Percaya ke Sidang Parlimen akan datang bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga PRU15.
Menurut Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kesepakatan itu dicapai dan dipersetujui Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam mesyuarat bulanan yang berlangsung di Pejabat Agung PAS, di sini pagi tadi.
Usul Percaya dibawa oleh PAS itu dilihat satu usaha untuk meredakan ketidakstabilan politik negara hari ini yang dilihat mengganggu Perdana Menteri menjalankan tugasnya.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan mengulas lanjut bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan ura-ura yang timbul mengenai wujud perasaan tidak puas hati kepada Perdana Menteri, namun tiada usul tidak percaya dibawa oleh pihak tidak berpuas hati itu.
“Kita digembar-gembur dengan rasa tidak puas hati kepada Perdana Menteri, tapi tidak ada usul undi tidak percaya. Sepatutnya yang tak puas hati dengan Perdana Menteri, bawa usul tidak percaya.
“Bila usul tidak percaya tak ada, kita bawa Usul Percaya, kalau selepas ini ada usul tidak percaya, mungkin kita akan tarik balik usul percaya. Maknanya, kalau ada usul tidak percaya, kita akan menolaklah (undian itu)” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas selesai menghadiri mesyuarat sama bersama Presiden PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang lain.
Sidang Dewan Rakyat seterusnya akan bermula pada awal Mac hingga pertengah April tahun ini dan PAS akan menghantar Usul Percaya lebih awal untuk diteliti oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY