Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa terpaksa melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada 1991 untuk menutup kesalahan melibatkan kegiatan perdagangan mata wang asing yang dilakukan oleh beliau dan Tun Daim Zainuddin.
Pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin mendakwa, sejak akhir 1980-an Bank Negara Malaysia (BNM) terjebak dalam perdagangan mata wang asing atau forex dan mengalami kerugian.
Menurutnya, seawal tahun 1989, media Barat telah mendedahkan bahawa BNM merupakan spekulator tukar mata wang asing (forex) terbesar di dunia tetapi pada masa itu BNM dikatakan sudah mengalami masalah.
“Mengapa pada 1991 Dr. Mahathir terpaksa menggantikan Daim dengan Anwar adalah mudah. Bank Negara telah terlibat dengan aktiviti forex dan mengalami kerugian, hanya menunggu masa sesuai untuk dunia mengetahuinya.
Jadi lebih baik untuk Daim meletakkan jawatan dan membiarkan Anwar mengambil alih,” katanya yang dipetik melalui portal www.malaysia-today.net hari ini.
Raja Petra mendakwa, tugas Anwar ketika itu adalah untuk menutup kerja-kerja kotor yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dan Daim.
“Pada September 1992, George Soros telah menyerang pasaran tukaran wang asing dengan AS$8 bilion (RM35.4 bilion) dipinjam daripada Bank Negara yang sudah hampir tenggelam. Pada waktu itu, Bank Negara hilang AS$10 bilion (RM44 bilion) manakala Soros pula meraih keuntungan AS$1.2 (RM5.31 bilion),” jelasnya.
Katanya, walaupun Dr. Mahathir mengetahui Anwar merupakan seorang yang bercita-cita tinggi, namun beliau tidak mempunyai cara lain bagi menyelamatkan dirinya serta Daim.
“Pada waktu itu Dr. Mahathir memerlukan Anwar dan berbaloi untuknya mengambil risiko tersebut,” katanya.