KOTA KINABALU – Aksi tidak senonoh pelancong asing yang sakan ‘bergelek’ di atas tembok pagar sebuah masjid di bandar ini telah mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya daripada penduduk setempat.
Menerusi perkongsian netizen di laman Facebook, dua pelancong asing yang berpakaian seksi berkenaan dirakam selama 10 saat menari ala ‘K-Pop’ yang mana turut disertakan bersama lenggokan badan.
Sementara itu seorang lagi wanita dipercayai rakan mereka dilihat sedang merekod aksi kedua-dua wanita itu dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.
Tidak diketahui tarikh sebenar ia dirakam namun video kejadian yang berlatar belakangkan kawasan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu itu tersebar di media sosial sejak malam Sabtu.
Sehubungan itu, pihak pengurusan tertinggi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) mengarahkan serta-merta agar masjid berkenaan ditutup buat sementara waktu kepada pelawatan pelancong asing.
Pengerusinya, Datuk Jamal Tun Sakaran berkata keputusan tersebut dibuat selepas melihat aksi tidak senonoh dua wanita tersebut yang mencemar kesucian masjid berkenaan.
“Pihak Pengurusan Tertinggi MBR mengambil keputusan untuk melarang sementara waktu kepada semua pelancong untuk datang melawat masjid berkenaan serta-merta.
“Ini ekoran daripada video yang tular di media sosial menunjukkan tindakan pelancong asing mempamerkan perilaku tidak senonoh di atas pagar MBR.
Beliau juga turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan pelancong terbabit meskipun sudah diberitahu tertib serta peraturan di sekitar masjid.
MBR juga memutuskan untuk tidak membenarkan semua bas ekspres, kenderaan pengangkutan Grab dan teksi untuk membawa pelancong masuk ke kawasan dan sekitar masjid, melainkan teksi yang sudah berdaftar dengan pihak masjid.
Lihat video: https://youtu.be/4szCFvgztms