Penampang – Identiti wanita yang ditemui cedera parah dan terbaring di dalam parit tanpa pakaian oleh orang ramai di Penampang, tengah hari tadi, belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah (OCPD) Penampang DSP Rosley Honden berkata mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
“Butiran (identiti) mangsa setakat ini belum dapat dipastikan sebab (mangsa) hanya diam dan trauma.
“Mangsa perlu sedikit masa untuk pulih. Harap bersabar,” kata Rosleh ketika memberi maklum balas kepada media melalui aplikasi Whatsapp.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.