SANDAKAN, 16 Dis (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi negara yang baik membolehkan kerajaan mampu melaksanakan program pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perdana Menteri berkata sebab itu menjadi keutamaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membuat yang terbaik dalam menguruskan negara terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata pada masa sekarang, BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berhadapan dengan masalah.
“Kita (BN) telah mengurus negara dengan baik dalam keadaan negara di Eropah dibebani hutang, Amerika Syarikat berhadapan dengan masalah pertembungan politiknya dan negara di Timur Tengah menghadapi pergolakan.
“Sebaliknya Malaysia mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat Parlimen Batu Sapi dan upacara pecah tanah tapak Masjid Kampung Lupak Meluas dekat sini Ahad.
Apabila siap kelak, masjid yang dibina dengan kos RM5 juta itu akan menjadi masjid terbesar di Batu Sapi dan terletak bersebelah dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat sebanyak 180 unit yang kini dalam pembinaan.
Najib berkata kadar pertumbuhan ekonomi negara turut mendapat pujian daripada Pengerusi Lembaga Eksekutif Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde yang beliau temui baru-baru ini.
“Kita telah mencapai pertumbuhan ekonomi begitu baik dan bila hasil negara bertambah, ekonomi bertambah dan kita agihkan kekayaan itu kepada rakyat.
“Itu prinsip saya pegang dalam aspek keadilan sosial. Konsep 1Malaysia diperkenalkan bukan satu slogan semata-mata tetapi ada prinsip dan kerangkumannya,” katanya.
Najib berkata kerajaan mampu melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah hasil ekonomi negara yang kukuh dan diteruskan untuk BR1M 2.0 pada tahun depan.
Berbeza dengan pihak pembangkang, Perdana Menteri berkata mereka membuat rusuhan dan demontrasi jalanan melalui perhimpunan Bersih 1.0 dan 2.0 hingga menyerang anggota pasukan keselamatan dan merosakkan kenderaan polis.
Katanya tidak cukup dengan itu, pemimpin parti pembangkang sanggup meminta pertolongan daripada Australia untuk campur tangan dalam urusan pilihan raya negara.
“Nasib baik, orang (pemimpin) Australia itu tahu bahawa demokrasi dalam negara kita adalah hak yang ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri. Mereka tidak berhasrat campur tangan sebab mereka tahu dalam pilihan raya (umum) di Malaysia sebelum ini, kita (BN) menang dengan cara baik dan bersih,” tegas Perdana Menteri.
Beliau menyelar tindakan pemimpin parti pembangkang itu yang “menconteng arang di muka (Malaysia)” di luar negara untuk memburukkan nama negara.