Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menghasilkan mesin pemotong ikan automatik yang dilihat membantu industri pemprosesan hasil laut.
Naib Canselor UTeM, Prof. Dr Raha Abdul Rahim berkata, produk inovasi yang telah dihasilkan oleh penyelidik UTeM itu dapat menzahirkan peranannya dalam menyumbangkan inovasi kepada sektor terbabit.
Katanya, dengan kepakaran dan teknologi inovasi yang telah dihasilkan oleh barisan penyelidik UTeM telah berjaya memudahkan proses pemotongan ikan dan berjaya menjimatkan masa.
Ketua penyelidik, Intan Mastura Saadon berkata, mesin itu berpotensi besar dalam meningkatkan kadar produktiviti pemprosesan ikan setiap hari.
“Sebelum ini pemotongan ikan secara manual memerlukan masa satu minit untuk dipotong menjadi potongan filet kupu-kupu.
“Mesin pemotong ikan ini berkemampuan untuk membelah ikan melalui dua cara potongan yang berbeza iaitu potongan filet biasa dan potongan filet kupu-kupu,” ujarnya.
Projek berkenaan dihasilkan bersama tujuh penyelidik lain iaitu Norain Idris, Emy Zairah Ahmad, Halyani Mohd. Yassim, Noor Saffreena Hamdan, Amalia Aida Abdul Halim, Nurul Kausar Abd Majid dan Umi Hayati Ahmad.
Kelapan-lapan mereka merupakan pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP), UTeM.
Menurut Intan, berdasarkan kajian awal, masa pemotongan dapat dikurangkan kepada lima saat setiap ikan jika menggunakan mesin berkenaan dan produktiviti proses pemotongan ikan dapat ditingkatkan sebanyak 12 kali ganda daripada biasa
Antara hasil potongan ikan dengan menggunakan mesin pemotong ikan automatik hasil ciptaan inovasi penyelidik UTeM.
Jelas beliau, dengan pengurangan masa memproses, jumlah tenaga kerja juga dapat dijimatkan di samping pemotongan ikan dengan menggunakan mesin ini adalah lebih kemas.
Katanya, ini adalah kerana mesin ini menggunakan pisau pembelah dengan kuasa motor yang berupaya membelah ikan dengan kelajuan tinggi.
“Pemotongan secara manual melibatkan sentuhan manusia yang lebih lama dan ini boleh menyebabkan berlakunya pencemaran terhadap ikan yang dipotong.
“Hal ini dapat dielakkan dengan memotong menggunakan mesin automatik ini kerana masa sentuhan dengan manusia adalah sangat minimum,” katanya lagi.
Projek pembangunan mesin pemotong ikan automatik itu telah mula dilaksanakan bermula dari bulan Januari lalu dengan menggunakan dana penyelidikan Public-Private Research Network (PPRN) yang dianugerahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.