Satu mesyuarat koordinasi telah dibuat Barisan Nasional (BN) berhubung rasa tidak puas hati jentera parti terhadap calon MCA yang diumumkan sebagai parti bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Menurut pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sentimen untuk melakukan sabotaj kepada calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng telah berjaya diredakan dan parti itu kini fokus untuk memenangkan calon BN pada 16 November ini.
“Kami telah melakukan mesyuarat koordinasi, biarpun sentimen itu cukup kuat di peringkat permulaan. Ianya telah cukup mereda sekarang ini dan mereka akan memenangkan calon MCA yang mewakili BN dan tidak timbul masalah bangsa dan kaum dalam perkara ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai dakwaan hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN yang majoritinya diuruskan UMNO bersedia memboikot kempen PRK kali ini.
Ia ekoran hampir keseluruhan Peti Daerah Mengundi (PDM) serta jentera BN di Parlimen Tanjung Piai yang digerak dan dikuatkan dalam kalangan ahli UMNO kawasan berkenaan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan yang tidak mendengar hasrat serta suara hati majoriti pengundi.
Juga difahamkan, kira-kira 75 peratus ahli UMNO yang menjaga PDM BN Parlimen Tanjung Piai memboikot majlis pengumuman calon BN malam tadi.
Semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan Jeck Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, diumumkan sebagai calon BN di PRK Parlimen Tanjung Piai.