Mustahil untuk ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low keluar daripada negara persembunyian dan pergi ke Cyprus.
Itu kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pihaknya yakin Jho Low masih berada di negara persembunyian dan bersembunyi seperti seekor ayam.
“Mustahil dia boleh keluar dari negara persembunyian itu dengan mudah. Tidak munasabah. (Jho Low) masih berada di sini (negara persembunyiannya).
“Saya sudah bagitahu mustahil dia keluar di negara persembunyian dia. Dia menyorok macam ayam,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan buku manual siasatan dan buku arahan penyiasatan PJSJK di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya ada menahan beberapa suspek yang memberi maklumat bahawa Jho Low cuba untuk membeli hartanah di Cyprus.
Menurut beliau, Jho Low dikesan cuba untuk menggunakan nama penduduk setempat di situ bagi urusan jual beli hartanah di negara berkenaan.
“Kita ada buat tangkapan dua minggu lepas hasil daripada tangkapan ini kita berjaya merungkai dapat maklumat bahawa Jho Low sedang berusaha untuk membeli harta menggunakan nama masyarakat di Cyprus,” katanya lagi.
Isnin lalu, Abdul Hamid pihaknya menhadapi kesukaran untuk mengesan Jho Low kerana pelbagai alasan yang tidak dapat diterima akal diberikan oleh pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyiannya.
Alasan itu termasuklah mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu sudah membuat pembedahan wajah dan kini menyerupai ‘beruang’ dan berjalan seperti ‘seladang’.