Farmasi utama dan klinik swasta kehabisan stok Tamiflu, ubat anti-virus yang digunakan untuk merawat dan mencegah Influenza A, sejak Disember.
Seorang ahli farmasi memberitahu FMT, sejak wabak itu bermula awal Disember lalu, permintaan terhadap Tamiflu semakin meningkat.
Hasil tinjauan di 3 farmasi utama; AA Pharmacy, Big Pharmacy dan Caring Pharmacy mengesahkan Tamiflu habis dijual di semua outlet mereka.
Klinik swasta juga dilaporkan mendapat mendapat permintaan yang tinggi untuk vaksin selesema. Suntikan untuk selesema itu menelan kos kira-kira RM100 bagi setiap suntikan.
“Bukan semua orang yang mendapat selesema dan sakit tekak positif Influenza A, ia bergantung kepada sistem imun tubuh anda, kadang-kadang ia hanya selesema biasa.
“Bagaimanapun, jika anda mengalami demam berterusan lebih 39 darjah Celcius selama lebih 5 hari, maka anda harus menjalani ujian darah,” kata ahli farmasi itu yang enggan dinamakan.
Ubatan mencegah selesema dan sirap batuk biasa juga laris terjual sejak beberapa minggu lalu.
Kebanyakan peruncit juga menambah stok topeng muka bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat.
Harga topeng muka sekitar RM1 sekeping hingga RM25 setiap kotak, bergantung kepada gred.
Produk lain yang mendapat permintaan bagi menangani gejala selsema adalah gula-gula sakit tekak, mentol balm dan alat sedutan seperti Vicks VapoRub dan VapoInhaler.
Seseorang boleh dijangkiti Influenza A melalui titisan dari batuk atau bersin atau menyentuh permukaan yang dijangkiti virus itu.
Menurut sumber, bekalan baru Tamiflu dijangka tiba pada hujung bulan ini atau awal Februari.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata permohonan permit oleh fasiliti kesihatan swasta untuk mengimport Tamiflu dari negara lain meningkat sejak Disember.