Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Riyadh petang Selasa untuk memberi penghormatan terakhir kepada Putera Mahkota Arab Saudi Putera Sultan Abdel-Aziz al-Saud yang mangkat Sabtu lepas.
Pesawat yang membawa Najib bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di pangkalan Udara Tentera Arab Saudi di Riyadh pada pukul 1.55 petang (6.55 petang waktu Malaysia) dan ketibaan beliau disambut oleh anggota keluarga diraja Arab Saudi.
Putera Mahkota yang berusia lingkungan 80-an itu, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Penerbangan Arab Saudi, mangkat di luar negara pada Sabtu lepas setelah gering.
Ramai orang kenamaan dari luar negara tiba untuk menghadiri pengebumian Putera Mahkota itu yang dijadualkan selepas solat Asar, dan majlis itu disiarkan secara langsung oleh televisyen kebangsaan Arab Saudi KSA1 dan KSA2.
Najib dan isteri dijadualkan kembali ke tanah air lewat petang ini, dan dijangka tiba di Kuala Lumpur, esok pagi.