RIAU- Seorang pelajar perempuan membuat keputusan untuk berhenti sekolah selepas dipanggil lonte (pelacur) oleh ustaznya.
Ini menyebabkan pelajar sebuah sekolah vokasional itu sering diejek oleh rakan-rakannya yang lain.
Ahli Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Kepulauan Riau, Erry Shahrizal yang mengesahkan perkara itu berkata, seorang guru tidak seharusnya berpelakuan sedemikian terutama sekali kepada pelajar-pelajarnya.
Dengan itu, suruhanjaya berkenaan katanya akan menghantar satu laporan kepada Ketua Agensi Pendidikan Kepulauan Riau, Muhammad Dali.
“Kami merancang untuk menghantar sepucuk surat rasmi kepada agensi pendidikan bagi memperjuangkan hak pelajar terbabit,” katanya.
Tambah Erry, tuduhan yang dibuat oleh guru terbabit adalah sangat tidak sesuai kerana seorang pendidik katanya, perlu menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat.
“Para guru seharusnya berpendidikan. Jika pelajar melakukan kesilapan, sudah menjadi tanggung jawab seorang guru untuk mendidik mereka,” katanya lagi.
Pelajar perempuan tersebut kini sudah berpindah ke rumah datuknya di Batam, menurut Erry.
“Dia sangat trauma dengan insiden tersebut,” katanya sambil menambah pelajar berkenaan cuba untuk meneruskan pelajaran di Batam.- MalaysiaGazette