BEIJING: Gara-gara menaikkan harga pelitup muka lima kali ganda berbanding pembelian di online, sebuah farmasi di Beijing hari ini (29 Jan) didenda 3 juta yuan (RM1. 7 juta) oleh pihak berkuasa pasaran majlis bandaran Beijing.
Wabak virus Wuhan yang menular di Wuhan lewat tahun lalu, sudah meragut seramai 132 nyawa, dengan hampir 6,000 orang dijangkiti virus itu.
Satu notis penalti pentadbiran sudah dikenakan terhadap Beijing Jimin Kangtai Pharmacy kerana menaikkan harga pelitup muka N95, menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan di laman webnya.
Farmasi itu didakwa kerana menaikkan harga sekotak pelitup muka jenama 3M kepada 850 yuan (RM500), manakala harga yang dijual secara online hanya 143 yuan (RM84) bagi setiap kotak.
Sejak Khamis lalu, pihak berkuasa sudah menyiasat sebanyak 31 kes menaikkan harga pelitup muka. Ia juga memantau harga peralatan perlindungan dengan lebih teliti dan mengambil tindakan terhadap aktiviti melanggar undang-undang, seperti mengumpul atau memalsukan maklumat mengenai kenaikan harga.
Di Shanghai pula, pihak pihak berkuasa pasaran majlis bandarannya sudah memerintahkan sebuah kedai farmasi ditutup kerana menjual pelitup muka yang tidak bermutu, menurut pemerintah bandar itu.
Pihak berkuasa sudah meminta kedai itu mengembalikan wang kepada para pelanggan yang sudah membeli pelitup muka itu dan membuang semua pelitup muka yang belum dijualnya, menurutnya dalam akaun rasminya di aplikasi Weibo.
– REUTERS/NA/na