Dua kumpulan terdiri daripada penyokong dan penentang Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, saling berbalas laungan ketika berhimpun secara aman di hadapan pejabat parti itu di Medan Istana di sini, hari ini.
Lebih 200 penyokong Zuraida melaungkan ‘hidup kak zu’, manakala kira-kira 300 lagi yang menentangnya menuntut pemecatan beliau yang dianggap mereka sebagai pengkhianat.
Ketua Cabang PKR Parit Buntar, Datuk Abdul Yunus Jamhari, berkata perhimpunan disertai wakil 24 cabang PKR seluruh negeri, termasuk sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada Zuraida yang menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti baru-baru ini.
Katanya, perhimpunan bukan bertujuan membuat provokasi, sebaliknya inisiatif anggota menyatakan hasrat dan suara akar umbi yang menggesa layanan adil diberi kepada Zuraida selaku Naib Presiden dan Menteri dalam Kerajaan Persekutuan.
“Pengorbanan dan jasa beliau bersama parti sejak awal penubuhan 20 tahun yang lalu. Beliau sentiasa turun padang bersama anggota parti sejak dulu hingga kini serta komitmen beliau terhadap parti terbukti dan tidak boleh dinafikan.
“Rekod dan prestasi beliau yang sangat membanggakan dalam pembangunan parti sejak dahulu menerusi sayap Wanita Negeri dan Nasional serta pencapaian sejak menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya ditemui pemberita ketika turut menyertai perhimpunan solidariti menyokong Zuraida berkenaan di sini.
Abdul Yunus berkata, justeru sebagai pimpinan dan anggota parti mereka menggesa agar tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas Zuraida yang hanya menyatakan kebenaran dan kejujuran dalam setiap ucapannya.
Tinjauan pemberita di lokasi, mendapati tiada insiden pergaduhan di antara kedua belah pihak penyokong dan penentang dan suasana berjaya dikawal oleh anggota polis yang bertugas.
Hari ini adalah tarikh akhir penyerahan jawapan bertulis atas dakwaan oleh Lembaga Disiplin terhadap Zuraida seperti notis yang diterima olehnya pada 14 Januari lalu.