1. Beberapa minggu lalu seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO ‘menyerang’ Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien kerana dikatakan mengadakan pakatan dengan Tun Mahathir menyingkirkan Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri.
2. Hari ini bekas pegawai Menteri (UMNO) menyerang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Haji Hasan pernah mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir semasa beliau menjadi pemangku Presiden.
3. Dakwa beliau, Dr Mahathir dan Mohamad Hasan mengadakan Pakatan untuk penyatuan UMNO dan Bersatu dengan Mohamad Hasan sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.
4. Dakwa penulis itu lagi Mohamad Hasan akan mengenepikan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pakatan tersebut.
5. Saya tidak tahu berlaku atau tidak perbincangan seperti itu. Namun saya fikir jika berlaku pun ia tidak sewajarnya didedahkan kepada umum kerana satu-satunya motif dari penulisan itu ialah untuk menyahstabilkan UMNO.
6. Jika benar ada usaha tersebut dan Mahathir bersetuju melantik Mohamad Hasan sebagai Perdana Menteri maka orang Melayu perlu mengalu-alukan.
7. UMNO hanya boleh membuat perubahan dan menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam melalui kuasa. UMNO tidak boleh menjaga kepentingan Islam dan Melayu tanpa kuasa dan kedudukan sebagai parti pemerintah utama.
8. Saya fikir hari ini majoriti orang Melayu menerima sosok Mohamad Haji Hasan sebagai salah seorang pemimpin Melayu yang mampu meneruskan perjuangan ini.
9. Kebolehterimaan majoriti orang Melayu termasuk di luar UMNO dan dalam PAS ke atas kepimpinan negara amat penting bagi menjadi sebuah kerajaan yang stabil.
10. Dalam masa yang sama saya melihat dakwaan melantik Mohamad Hasan sebagai Perdana Menteri ini agak mengelirukan kerana beliau bukan Ahli Parlimen. Jawatan tertinggi beliau boleh pegang melalui senator ialah Timbalan Perdana Menteri.
11. Jadi apa tujuan memecahbelahkan UMNO ketika Pakatan Harapan sedang berantakan menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8?
12. Serangan-serangan ini tersebar ketika ada dakwaan wujud usaha Dr Mahathir mewujudkan sebuah kerajaan baharu bersama UMNO dan Pas.
13. Adalah wajar soal ini diuruskan oleh pucuk pimpinan UMNO bersandarkan kepentingan Islam, Melayu dan UMNO sendiri.
14. Banyak komentar-komentar yang berbaur emosi benci, marah dan serangan peribadi bukan kerana jalur perjuangan tetapi berasaskan fraksi dan kelompok pemimpin.
14. UMNO harus terus mara untuk menjaga kepentingan agama dan bangsa. Apa-apa keputusan politik parti harus mengambil kira kedudukan ini.
15. Hanya UMNO yang berkuasa – sama ada melalui Pilihan Raya atau Perlembagaan – sahaja mampu membetulkan keadaan ini.
– Ab Jalil Backer