1. Jika benar Majlis Tertinggi UMNO memecat Lokman Nor Adam dari UMNO ia bukanlah perkara di luar jangkaan.
2. Seperti saya tulis pagi tadi Lokman memang mahukan beliau dipecat berdasarkan serangan bersifat peribadi ke atas Presiden UMNO dan ahli MT yang lain.
3. Sebenarnya tindak-tanduk Lokman ini lebih berat dari kes-kes pemecatan oleh MT UMNO secara langsung sebelum ini.
4. Pada 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Presiden UMNO dan keahlian oleh MT setelah menentang keputusan Presiden menggugurkannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan berkelakuan biadap dalam mesyuarat MT.
5. Pada 2015, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana berucap bertentangan dengan hala tuju kerajaan dalam kes 1MDB dan Jho Low.
6. Pada tahun yang sama MT tidak membenarkan Muhyiddin dari merasmikan Pehimpunan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri.
7. Akhirnya beliau bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat dari UMNO kerana secara berterusan mengkritik pentadbiran negara dan parti.
8. Apa yang dilakukan Lokman Nor Adam lebih teruk dari perlakuan Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin. Sejak 2018 beliau menggunakan kedudukan sebagai Ahli MT secara berterusan mengkritik, mencerca dan menghina kepimpinan UMNO secara terbuka di media sosial.
9. Antara yang menjadi mangsa serangan terbuka beliau ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kemudiannya Pemangku Presiden Mohamad Haji Hasan, Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
10. Pada akhir tahun lalu beliau sekali lagi secara terbuka mempertikaikan keputusan Presiden membabitkan aduannya ke atas DS Hishamuddin Tun Hussien.
11. Minggu ini beliau menyunting ucapan Zahid sehingga menimbulkan salah faham dan kemarahan umum bahawa Zahid akan membawa UMNO meninggalkan Muafakat Nasional menyertai Tun Mahathir.
12. Dua hari lepas beliau melemparkan pelbagai tuduhan kepada Presiden dan MT menggunakan media sosial. Malah tidak segan silu menghina MT sebagai tiada telur dan keberanian.
13. Beliau juga membuat tuduhan di media sosial bahawa Presiden UMNO melakukan rasuah dalam pemilihan UMNO 2018.
14. Sebelum itu pada Julai 2019 Lokman telah menyerang Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda sebagai pemimpin kotor.
Tulis Lokman ” Nak tanya, bersih sangat ke Tok Mat tu? Siap yang kantoi tahun 2009 terima duit developer 38juta masuk akaun peribadi? Siapa yg kantoi hantar 10 juta nak beli apartment kat London. Beritahu Matt Hassan, kalau tak pandai jaga mulut Asyraf dan Pemuda dia, kita keluarkan dokumen lama nanti. Jangan cerita bab pemimpin bersih, kita tahu tembelang seko-seko. Duit Acap simpan kat Hong Kong 2 jut pun kita….”
15. Apakah MT harus bersabar dengan pelbagai tuduhan seperti ini dilontarkan oleh seorang ahli MT ke atas Presiden dan kepimpinan UMNO?
16. Lokman bukan sahaja tiada rasa hormat kepada Presiden dan kepimpinan parti tetapi beliau juga menyerang peribadi setiap pemimpin UMNO yang berlainan pendapat dengannya.
17. Hari ini apabila MT bermesyuarat beliau dengan penuh bangga memuatnaik gambar sedang bercuti di Jepun. Bahasa media sosial hari ini ialah seolah-olah ‘menganjing MT’.
18. Selama mana lagi MT harus bersabar dan membenarkan Lokman bermaharajalela merosakkan parti hanya kerana beliau orang kanan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak?
19. Lokman dalam keadaan menjadi panglima Najib juga telah mengambil kesempatan tersebut untuk menjadi besar diri dan besar kepala.
20. Beliau menggunakan penghormatan pemimpin UMNO kepada DS Najib untuk mengelak dari sebarang tindakan disiplin parti.
21. Hari ini, jika benar dipecat, MT telah membuat keputusan yang wajar (saya tidak kata tepat) memecat beliau. Jika tidak boleh hidup dalam disiplin organisasi eloklah menjadi petualang di luar sahaja.
Oleh Ab Jalil Backer