SIBU: Seorang warga emas cedera di paha apabila tercucuk jeriji pagar ketika cuba memanjat pagar berkenaan untuk keluar dari rumahnya di Jalan Indah Barat, Teku hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata 2 batang jeriji tajam menusuk bahagian celah paha kanannya menyebabkan berlaku pendarahan pada mangsa wanita berusia 72 tahun itu.
Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian pada 10.31 pagi dan berdasarkan maklumat daripada anak mangsa, wanita itu berada seorang diri di rumah dan kunci pagar utama dibawa seorang daripada anaknya.
“Ekoran itu, mangsa bertindak memanjat pagar untuk keluar rumah namun tersangkut pada celah jeriji pagar berkenaan.
“Setelah berbincang dengan pegawai perubatan, pasukan bomba terpaksa memotong pagar rumah itu menggunakan pemotong hidraulik sebelum berjaya menurunkan mangsa dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.