Apabila saya menulis menyatakan PM perlu menghormati kedudukan UMNO sebagai salah satu parti besar yang menyokong kedudukannya, bukan bermakna apa-apa kes pemimpin UMNO perlu dilepaskan begitu sahaja.
Proses undang-undang harus dibenarkan berjalan terus. Manakala mereka yang terlibat perlu menyelesaikannya melalui mahkamah tanpa memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Menggunakan alasan pengguguran kes Lim Guan Eng menunjukkan sikap penting diri sesetengah penyokong tanpa mengambil kira tanggapan masyarakat banyak terhadap UMNO.
Jika kita sama sahaja dengan DAP apa makna perubahan kerajaan ini?
Jika Presiden ada kes di Mahkamah, maka Timbalan Presiden UMNO dan Naib-Naib Presiden yang berstatus Ahli Parlimen haruslah diberi peranan yang sesuai sebagai wakil tertinggi parti dalam kerajaan.
Ini jawatan-jawatan yang dipilih secara langsung oleh ahli UMNO dan diamanahkan untuk menjaga kepentingan parti.
Lain-lain pemegang jawatan lantikan tidak seharusnya mendapat pertimbangan yang sama berat seperti kepimpinan tertinggi UMNO.
Sudah tentu Perdana Menteri juga harus diberi kebebasan memilih Ahli Parlimen UMNO lain yang beliau anggap sesuai dengan keperluan pentadbirannya.
Jadi ketika kita tidak mahu Perdana Menteri menunggang UMNO sewenang-wenangnya, kita juga tidak mahu ada pemimpin sendiri menunggang UMNO untuk kepentingan diri.
Oleh Ab Jalil Backer