Dalam soal kecelaruan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Selangor menyebabkan ada pihak mahu pucuk pimpinan parti itu tegas dalam membuat ketetapan.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Selayang, Mohamad Nazrin berkata, Pakatan Harapan Selangor telah membuat ketetapan untuk tidak melibatkan PPBM dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Namun, katanya, sebahagian wakil rakyat PPBM telah menyatakan untuk memberi sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari namun kekal setia sebagai ahli PPBM dan tidak berhasrat menjadi wakil rakyat bebas.
“PKR Cabang Selayang melihat terdapatnya percanggahan pendirian oleh wakil-wakil rakyat ini apabila Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM melalui satu mesyuarat khas pada 23 Februari lalu telah membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan PH yang telah diberi mandar oleh rakyat pada PRU-14 lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, menurut Mohamad Nazrin, pihaknya meminta Majlis Pimpinan PH Selangor bertegas dan kekal terhadap kenyataan yang dikeluarkan hari ini dan tidak membelakangkan mandat rakyat dengan membuat sebarang kenyataan bercanggah.- MalaysiaGazette