JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengisytiharkan darurat hari ini berikutan kematian akibat COVID-19 terus meningkat di republik itu, namun enggan menguatkuasa perintah berkurung.
Pemimpin negara dengan kepadatan penduduk keempat tertinggi di dunia itu dikecam hebat sebelum ini kerana tidak melaksanakan perintah berkurung di bandar utama termasuk Jakarta di mana kebanyakan kematian dilaporkan.
Beliau, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, tidak mengulas lanjut mengenai perintah darurat itu selain menegaskan keperluan mematuhi penjarakan sosial .
“Bagi mengatasi kesan COVID-19, kita memilih untuk melakukan penjarakan sosial pada skala besar.
“Kita harus belajar daripada pengalaman negara lain tetapi kita tidak boleh mengikut mereka kerana setiap negara adalah unik,” katanya kepada pemberita.
Hari ini, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan 136 orang maut akibat coronavirus itu selain 1,528 lagi disahkan positif dijangkiti, namun angka itu disifatkan jauh lebih rendah di kepulauan dengan lebih 265 juta penduduk itu.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, berkata hampir 300 mayat yang disyaki atau disahkan dijangkiti COVID-19 dibungkus dengan plastik dan dikebumikan sejak awal Mac.
Hari ini, Indonesia turut mengumumkan mahu membebaskan 30,000 banduan sebagai langkah membendung penularan coronavirus di penjara negara itu yang sememangnya sudah sesak.
Jurucakap kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi, Bambang Wiyono, berkata banduan dewasa layak mendapat parol itu jika sudah selesai menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman.
“Bagi banduan juvana pula membabitkan mereka yang sudah selesai menjalani separuh daripada tempoh hukuman masing-masing.
“Secara keseluruhan, proses ini membabitkan 30,000 banduan, kira-kira 10 peratus daripada 272,000 banduan di seluruh Indonesia,” katanya. – AFP