Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mula memberi tekanan kepada pasar raya besar dan peruncit-peruncit untuk menurunkan harga barangan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim.
Katanya ini kerana barangan yang dijual di KR1M adalah lebih murah berbanding harga di premis lain hasil pemerhatian terhadap jenama pilihan pengguna sejak lima bulan lepas.
“Inilah yang berlaku sekarang. Penjualan barangan yang lebih murah di KR1M berjaya memberi tekanan kepada pasar raya besar dan peruncit. Akhirnya golongan pengguna yang mendapat faedah,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Rohani, penjualan barangan di KR1M tidak tertakluk kepada diskaun tetapi harga yang ditetapkan lebih rendah daripada harga pasaran iaitu antara 10 hingga 40 peratus.
Rohani turut mengucapkan terima kasih kepada tiga anggota Parlimen pembangkang yang dikatakan turut memantau harga barangan serta operasi KR1M yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kita akan sampaikan maklumat ini kepada pengusaha-pengusaha KR1M kerana kami juga mahu KR1M memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Semalam, anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, anggota parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan anggota parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad mengadakan satu sidang media mendakwa KR1M tidak menawarkan harga murah seperti yang dikatakan sebelum ini.
Rohani juga berkata pihak kementerian merancang membuka 85 buah KR1M di seluruh negara menjelang akhir 2012 termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kita juga akan membuka peluang untuk mana-mana individu, syarikat dan koperasi dan badan pertubuhan untuk menjalankan perniagaan KR1M ke kawasan luar bandar. Tujuannya untuk memastikan rakyat di segenap pelosok negara mendapat manfaat,” katanya.