DUA negeri lagi dijangka bakal berlaku pertukaran kerajaan seperti yang terjadi di Kedah.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mempunyai maklumat mengenai dua negeri berkenaan dan kini usaha sedang dijalankan.
“Saya tidak mahu sebut dua negeri berkenaan namun semua orang sudah tahu mengenai perkara itu.
“Bagi negeri yang sudah bertukar kerajaan seperti Johor, Perak, Melaka dan hari ini Kedah, ini masa untuk kita bekerja demi rakyat.
“Namun, bagi yang belum bertukar kerajaan, sudah boleh bersiap sedia,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada imam dan bilal di Ketereh dekat Kota Bharu hari ini.
Pada masa sama, mengulas kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan kejatuhannya disebabkan Datuk Seri Najib Razak yang menjadi dalang, Annuar berkata, Mukhriz berhak beri pandangan tersendiri.
“Namun hakikatnya, apa yang berlaku adalah Perikatan Nasional (PN) sedang diperkasakan dalam kalangan parti politik yang bertekad memberi sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita mempunyai cabaran besar pasca Covid-19. Kita tidak mampu bertelagah isu politik dalam keadaan negara tidak stabil kerana tugas besar dan utama adalah menyelamatkan rakyat.
“Selepas ini, rakyat akan menghadapi masalah ekonomi, hilang kerja, perniagaan syarikat menurun. Ini semua memberi kesan besar kepada negara dan rakyat.
“Kita sebagai kerajaan akan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.