SETIAUSAHA Agung Bersatu Hamzah Zainuddin hari ini tampil mempertahankan keputusan parti memberhentikan keahlian Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen parti yang lain, semalam.
Katanya, mereka bukan dipecat daripada Bersatu tetapi secara undang-undang keahlian kelima-lima mereka terhenti kerana bersama dengan blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
“Saya ingin tegaskan bahawa kelima-lima mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka telah terhenti kerana melanggar perlembagaan parti.
“Ini adalah berlandaskan perlembagaan parti kerana kepentingan parti adalah lebih utama dari mana-mana individu.
“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri,” katanya membaca teks yang disediakan dalam sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Hamzah lagi antara aduan yang telah diterima mengenai salah laku mereka, antara lain adalah seperti:
Dalam hal ini, Tan Sri Megat Najimuddin sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin telah memaklumkan kepada saya sebagai Setiausaha Agung bahawa perkara di atas tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin apabila kedudukan keahlian mereka terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3. katanya lagi
Mengulas mengenai tindakan BERSATU keluar dari Pakatan Harapan katanya keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan telah pun diputuskan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari, yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir sendiri.
” Pengumuman keputusan MPT telah diumumkan oleh Tan Sri Presiden, sebagai Pemangku Pengerusi pada 24 Februari selepas Tun Mahathir meletakkan jawatannya pada hari yang sama.”
Mengulas mengenai kedudukan Setiausaha Agung pula katanya Sebagai Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun memberhentikan YB Senator Datuk Wira Hj. Marzuki Yahya melalui notis yang bertarikh 18 Mac berkuatkuasa serta-merta.
Selanjutnya pada 26 Mac, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik saya sebagai Setiausaha Agung yang baharu menggantikan YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya.
Dengan perlantikan ini, semua arahan atau kenyataan yang dikeluarkan YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Agung BERSATU adalah tidak sah serta merupakan satu salah guna kedudukan.
Sidang media itu diadakan lebih kurang sejam selepas Dr Mahathir mengadakan sidang media di bangunan sama menegaskan pemberhentiannya tidak sah dan beliau masih lagi pengerusi dan ahli Bersatu.