06/01/2012 20:25:00
Kerajaan tidak akan sesekali mengkhianati warga Felda dalam usaha melonjakkan kejayaan kedua buat komuniti itu yang disifatkan kelompok paling berjaya di luar bandar.
Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, legasi FELDA yang diasaskan Allahyarham bapanya perlu berani meneropong peluang-peluang baru agar kejayaan berterusan terus dikecapi.
Dan usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sendirian Berhad antara lonjakan kedua yang dimaksudkan.
Datuk Seri Mohd Najib siang tadi mengadakan tinjauan mesra rakyat yang pertama bagi tahun ini dan lokasi sulung Hulu Selangor dipilih kerana ada signifikannya.
17 April 2010, kerusi parlimen Hulu Selangor kembali ke pangkuan Barisan Nasional dan atas penghargaan itu selain tinjauan mesra Perdana Menteri juga mahu memastikan segala janji pada pilihan raya kecil itu ditunaikan.
FELDA Gedangsa lokasi bersarapan pagi beliau.
Dan selepas itu di hadapan lebih 3,000 peneroka FELDA termasuk dari FELDA Soeharto dan FELDA Sungai Tengi, komitmen ini dilontarkan.
DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK / PERDANA MENTERI
Apa jua kita mesti percayalah bahawa kerajaan yang telah bangunkan FELDA selama ini yang telah beri 1001 nikmat kepada masyarakat FELDA tidak akan khianati legasi FELDA dan apatah lagi saya tentu tidak akan khianati perjuangan Allahyarham ayahanda saya yang telah bina FELDA dengan susah payah pergorbanan besar yang dilakukan bertahun-tahun dan saya berazam untuk lakukan yang terbaik supaya legasi Tun Razak bukan dalam kenangan sahaja tapi diberi jauh ke hadapan lagi dalam abad 21 sebagai kejayaan yang sesuai dalam zamannya.