HULU SELANGOR – Seramai tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dalam kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang, Bestari Jaya dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 50-an.
Menurutnya, polis berjaya memberkas kesemua suspek sejak semalam bermula jam 11 pagi di sekitar Selangor.
BACA Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri diculik dan dibunuh
“Hasil soal siasat, salah seorang suspek telah memaklumkan kepada polis berhubung penemuan lokasi mayat dan sebuah rumah di Taman Kosaso di sini yang digunakan untuk menyembunyikan mangsa.
“Ketika ditemui kira-kira jam 9 pagi tadi, mangsa sudah mula mereput. Polis juga membawa suspek ke rumah ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi mangsa disembunyikan di sebuah rumah Taman Kosaso di sini hari ini.
Fadzil berkata, ahli perniagaan berusia 55 tahun yang terlibat dalam pembangunan hartanah itu dilaporkan diculik ketika berjoging di taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Seri Damansara pada 10 Jun lalu.
“Suspek telah meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta (RM154 juta) daripada keluarga mangsa namun wang tersebut belum dibayar kepada kumpulan penjenayah itu.
“Suspek juga mendakwa mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh tiga atau empat hari selepas diculik,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa mengenali dalang kes penculikan itu.
“Kita masih menyiasat motif kejadian dan punca kematian mangsa,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Culik.