Tak kisahlah dimana hendak bertanding asalkan bukan di Hulu Selangor.
Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel terus mengunci mulut mengenai kerusi yang akan ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang, namun berkata ia adalah ‘kerusi yang sesuai’.
“Ada sesetengah pihak meminta saya bertanding di Kapar, sesetengahnya pula berkata saya perlu bertanding di Teluk Kemang manakala yang lainnya pula berkata di Cameron Highlands, mungkin saya akan bertanding di semua tempat itu,” katanya berseloroh ketika menjawab pertanyaan pemberita sama ada beliau akan bertanding di Cameron Highlands pada pilihan raya umum akan datang.
Sebuah portal berita, yang memetik sumber, membuat spekulasi bahawa Palanivel akan bertanding di Cameron Highlands selepas beliau dilaporkan bertemu beberapa pemimpin tempatan parti komponen Barisan Nasional (BN) di kawasan pilihan raya itu sejak beberapa minggu lepas.
Ketika ini, kerusi itu disandang oleh Naib Presiden MIC Datuk S.K. Devamany, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Ditanya sama ada MIC telah menyediakan senarai calonnya bagi pilihan raya itu, Palanivel berkata adalah tidak wajar untuk mendedahkan senarai itu kepada umum ketika ini.