Pengurusan Perbadanan Fidlot Nasional, PFN dinasihat berdiam diri dan tidak mengganggu siasatan polis atau keputusan yang dibuat oleh peguam negara.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pihak PFN perlu membiarkan Jabatan Peguam Negara dan Polis menjalankan siasatan dan tidak membuat kenyataan media yang boleh mengganggu tugas kedua-dua pihak itu.
Katanya, adalah lebih baik pihak PFN mendiamkan diri ketika ini dan hanya bercakap di dalam mahkamah jika ada pendakwaan.
Ini kerana kes berkenaan belum lagi diputuskan sama ada akan didakwa atau sebaliknya.
Mengenai kertas siasatan PFN yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata adalah menjadi hak Peguam Negara untuk berbuat demikian jika ada perincian yang dikehendaki jabatan itu.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan sengaja melambat-lambatkan proses pendakwaan kes berkenaan.