Penulis blog, Raja Petra Kamaruddin hari ini tampil dengan bukti kerajaan Selangor tidak mengamalkan sistem tender terbuka.
Beliau berhasrat menyerahkan bukti itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM untuk tindakan lanjut.
Katanya, dakwaan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Selangor sudah menamatkan sistem penyerahan kontrak secara rundingan, hanya satu pembohongan.
Dakwaan Raja Petra itu dibuat menerusi blognya www.malaysiatoday.net.
Pada 2008, Tan Sri Khalid mendakwa Selangor akan menamatkan amalan kontrak rundingan seperti dilakukan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, pada tahun sama, RM79 juta ringgit kontrak diberi secara rundingan, juga RM27 juta kontrak rundingan pada 2009 dan RM142 juta lagi pada 2010.
Beliau bagaimanapun, tidak mempunyai angka pada tahun lalu tetapi dipercayai melebihi RM100 juta.
Inilah bukti yang dimaksudkan – 18 jenis projek dirunding secara terus.
Antaranya ia membabitkan pejabat istana, pejabat Menteri Besar, Dewan Undangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Raja Petra juga mendakwa khidmat perundangan juga diberi kepada mereka yang menyokong pakatan pembangkang.
Khidmat itu tidak diberi kepada mereka yang menawarkan harga terendah sebaliknya kerajaan negeri perlu membayar harga yang lebih tinggi untuk khidmat berkenaan.
Ramai peguam yang bukan daripada kalangan pembangkang atau kroni mengadu mereka sebenarnya boleh menawarkan khidmat perundangan lebih murah atau separuh daripada harga ditawarkan tetapi tidak diberi peluang melakukan kerja itu.
Jika peguam pakatan pembangkang ini adalah bersih, Raja Petra mempersoalkan kenapa mereka takut untuk memaparkan nama peguam yang terbabit dengan khidmat perundangan di Selangor kepada umum?
Berapa yang sudah dibayar kepada peguam terbabit dan adakah ia dilakukan secara tender terbuka atau secara rundingan kerana harganya lebih tinggi.
Beliau seterusnya mencabar agar nama peguam terbabit didedahkan kepada umum.
Menurut Raja Petra, jika kerajaan Selangor masih menafikan dakwaannya, beliau akan mendedahkan maklumat terperinci mengenai kontrak itu termasuklah nombor telefon, nama syarikat dan tarikh ataupun menghantar maklumat itu kepada SPRM.
p/s: Dulu tulisan RPK ni macam kitab bagi puak PR.. Ayat dalam blog beliau jadi bahan ratib tiap-tiap hari. Sekarang sudah tentu sumpah seranah dan cubaan merosakkan imej RPK pula cuba dilakukan.