Masalah kelewatan tren komuter terutama pada waktu puncak dijangka diatasi apabila Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Berhad melancarkan empat unit set tren baru dikenali SCS (Six-Car-Set) bagi perkhidmatan komuter di Lembah Klang.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd Hider Yusoff, berkata tren keluaran syarikat ZhuZhou Electric Locomotives Co Ltd (ZELC) dari China itu mampu mengurangkan tempoh menunggu penumpang di setiap stesen kepada 10 minit menjelang Jun depan.
“Tren sepanjang enam gerabak ini dijangka dapat meningkatkan jumlah penumpang yang boleh dibawa untuk perjalanan sehala,” katanya ketika memberi penerangan kepada media berkaitan tren yang bakal dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis ini, di sini, hari ini.
Mohd Hider berkata, SCS mampu memuatkan kapasiti sehingga 1,118 penumpang dalam satu-satu masa berbanding 450 penumpang ketika menggunakan set Komuter sedia ada.
Tren bernilai RM2 bilion itu dilengkapi beberapa ciri baru, antaranya tiga baris ruang pemegang untuk penumpang berdiri, sistem paparan maklumat LED, kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU), empat unit kamera litar tertutup (CCTV) dan TV LCD pada setiap koc.
“Ia juga dilengkapi ruang perantaraan koc yang terbuka di samping tempat duduk dan berdiri yang lebih agronomik,” katanya.
Beliau berkata, selain tren, KTMB turut akan memperkenalkan sistem tiket baru menggunakan token bermula Mei depan.
KTM telah membeli 8 set SCS dan 4 daripadanya akan memulakan operasi. Selebihnya akan tiba berperingkat-peringkat sehingga selewat-lewatnya Julai akan datang.
KTMB kini memiliki 53 buah stesyen dengan pertambahan 2 lagi stesyen Sungai Gadut dan Senawang bagi membawa penumpang dari Tanjung Malim ke Port Klang dan Batu Caves ke Sungai Gadut.
KTMB Komuter memulakan perkhidmatan menggunakan 64 Electric Multiple Unit (EMU) pada 3 Ogos 1995, perkhidmatan pertamanya mula mengambil penumpang dari Kuala Lumpur ke Rawang secara percuma sehingga 11 Ogos 1995.