KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, enggan membuat sebarang ulasan atau membalas kenyataan bantahan dilakukan sekumpulan pemimpin parti itu dari negeri ini.
Beliau sebaliknya mengambil langkah untuk membiarkan bahang bantahan itu reda terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen.
“Cool down dulu (biar reda dulu ),” katanya secara ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, pagi ini.
Malam tadi, sekumpulan Ketua Bahagian UMNO Sabah dan beberapa pemimpin parti itu membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri parti itu untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan bulan depan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang mewakili kumpulan itu dalam satu sidang media malam tadi, berkata pemimpin yang menjadi ketua jentera pilihan raya harus bebas daripada persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan.
Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Tuaran, berkata sebagai ketua jentera pilihan raya, seseorang itu perlu mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan rakyat dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan ketika menghadapi PRN.
Ketika ini, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah ketika menjadi Pengerusi Felcra.