KERALA – Kotak hitam milik pesawat malang Air India Express yang tergelincir di landasan lapangan terbang Kozhikode, dekat sini telah ditemui.
Kemalangan itu mengorbankan 18 orang penumpang.
Pesawat yang tiba dari Dubai itu tergelincir di landasan semasa cuaca buruk hingga menyebabkan badannya terbelah dua.
Semasa nahas, ia membawa 190 orang penumpang yang dibawa balik selepas terkandas akibat sekatan perjalanan ekoran pandemik Covid-19.
Kemalangan yang disifatkan paling buruk dalam tempoh sedekad itu dianggap satu keajaiban kerana ia tidak membabitkan jumlah kematian yang tinggi.
Pesawat Boeing 737 terhempas pada jam 7.40 malam, selepas juruterbangnya tidak dapat nampak landasan semasa percubaan pertama kali untuk mendarat akibat hujan lebat.
Apabila pesawat itu mendarat, ia berada di laluan taxiway – beratus-ratus meter dari landasan, kemudian tergelincir lalu memasuki parit.
Kozhikode digelar lapangan terbang table-top, menjadi cabaran bagi kru udara semasa pendaratan yang sukar kerana mereka biasanya mengalami penurunan curam di salah satu atau kedua-dua hujung landasan.
Kedua-dua juruterbang pesawat ini antara mangsa yang terkorban.
Pada masa ini hampir 150 orang masih dirawat di hospital.