Polis kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menyifatkan kehilangan anak gadis mereka satu penculikan sedangkan ia sebenarnya tindakan melarikan diri dari rumah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kes sedemikian bukan satu jenayah tetapi merupakan masalah sosial yang berpunca daripada kegagalan institusi kekeluargaan.
“Sebelum ini, kita dapat kes yang menyatakan kononnya ada anak gadis yang diculik, tetapi sebenarnya apabila disiasat, mereka bukanlah diculik sebaliknya keluar rumah dan ikut teman lelaki sebelum kembali semula ke pangkuan keluarga.
“Kerana gagal menguruskan institusi kekeluargaan, ia membawa kepada masalah sosial hari ini,” katanya kepada pemberita selepas acara turun padang bersama masyarakat di Berjaya Times Square Jumaat.
Ismail berkata bagaimanapun, polis tetap memandang serius kes itu dan berusaha mendapatkan maklumat sehingga menjumpai mangsa.