Nasib dua beradik lelaki, yang mendakwa mereka diculik dan dilarikan ke Tanjung Malim, Perak, berakhir dalam lokap apabila helah mereka yang sebenarnya melarikan diri dari rumah keluarga di Jalan Klang Lama di sini, terbongkar.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata dua beradik berumur 14 dan 12 tahun itu telah berpakat dengan seorang lelaki untuk memaklumkan kepada keluarga mereka kononnya mereka diculik.
“Lelaki itu menelefon ibu dua beradik berkenaan mengenai penculikan palsu itu dan ibu mereka memaklumkan kepada bapanya sebelum membuat laporan polis mengenai kes itu pada 15 Mac lepas,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Beliau berkata keesokannya, dua beradik itu ditemui oleh seorang pemandu lori di Tanjung Malim apabila terdengar mereka menjerit meminta tolong dari dalam lori itu sebelum diserahkan kepada polis.
Polis kemudian menahan lelaki berusia 26 tahun itu kerana membuat panggilan palsu selain menahan dua beradik itu kerana membuat laporan palsu, katanya.