Lima remaja Myanmar, yang turut menjadi mangsa culik bersama-sama seorang lagi remaja perempuan Malaysia yang ditemui di Bangkok Thailand, tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan ketibaan mereka pada 10.40 malam ini bagi membantu siasatan.
Difahamkan tiga remaja lelaki dan dua remaja perempuan yang berusia antara 14 dan 16 tahun itu dibawa dari Bukit Kayu Hitami.
Remaja warga Malaysia berusia 14 tahun itu dilapor hilang pada 30 Jan lepas setelah ibunya, Norazura Roski, 37, menghantar mangsa ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya. Ibunya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 31 Jan apabila anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah.
Remaja itu menelefon ibunya pada 12 Mac lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan dapat melarikan diri sebelum diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok, bersama-sama lima remaja Myanmar itu.