Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dikatakan mengamuk di hadapan Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kejadian di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) sebentar tadi.
Menurut sumber yang menghubungi SuaraTV, ia ekoran dari keengganan Hajiji untuk mematuhi perjanjian awal yang telah dipersetujui bersama di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Menurut perjanjian awal, PN bersetuju untuk melantik Bung sebagai Timbalan Ketua Menteri dengan memegang portfolia Kerja Raya, manakala 3 orang ADUN UMNO akan dilantik sebagai menteri dengan seorang memegang portfolio kanan sebagai syarat untuk UMNO menyokong calon Bersatu sebagai jawatan ketua menteri.
“Namun setelah mengangkat sumpah, Hajiji enggan mematuhi perjanjian tersebut dengan melantik Bung memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Disebabkan itu Bung mengamuk dan berteriak di hadapan Hajiji agar menghormati perjanjian awal yang telah dipersetujui sebelum
ini,” kata sumber tersebut.
Bung juga dikatakan telah memanggil satu sidang akhbar khas bagi memaklumkan untuk menarik kembali sokongan terhadap Bersatu sekiranya Hajiji bertegas dengan keputusannya.
Ekoran kejadian tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan terpaksa campur tangan dengan mengarahkan Hajiji agar akur dengan perjanjian sebelum ini. – SuaraTV