Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said mengakui pernah menerima tawaran daripada pelbagai pihak untuk keluar Umno.
Azalina berkata, bagaimanapun beliau tidak akan lari dan terus kekal bersama Umno serta rakyat kawasannya di Pengerang.
“Saya sudah ditawarkan, macam-macam orang tawar saya. Saya tidak akan keluar dan lari sebab saya berpegang janji saya pada orang Pengerang.
“Kita hidup mati bersama sudah 20 tahun, tuan-tuan ikhlas atas perjuangan saya dan saya ikhlas atas perjuangan tuan-tuan, 20 tahun kalau hendak lari, sudah lama saya lari, kami tidak akan lari dan akan duduk di sini,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani memorendum persefahaman (MoU) Projek Koop City Bandar Penawar hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah memperkenankan permintaannya untuk menghadap Selasa ini.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu berkata, beliau yakin Agong seorang yang bijak dan waras serta akan memberi keputusan yang meletakkan kepentingan terhadap keamanan rakyat.
“Saya kasihan lihat Yang di-Pertuan Agong, selagi undang-undang lompat parti ini tiada, setiap minggu akan tukar kerajaan macam cerita Hollywood dan Bollywood, pening kepala rakyat.
“Saya rasa, Yang di-Pertuan Agong akan bagi keputusan yang meletakkan pada keamanan rakyat. Kita tunggulah Selasa ini apa jadi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azalina akan bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengadakan perbincangan mengenai naik taraf Pengerang sebagai daerah.
“Harga tanah di Pengerang sekarang naik mendadak dan sudah sampai masa Pengerang keluar dari daerah Kota Tinggi, saya sudah memberitahu perdana menteri kawasan ini perlu dinaik taraf menjadi daerah Pengerang, bukan lagi bawah daerah Kota Tinggi,” katanya.