Tiada sebarang pertemuan berlaku di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan Presiden PKR itu yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.
Portal Malaysiakini yang memetik sumber berkata, dakwaan kononnya Ahmad Zahid bertemu Anwar membincangkan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN adalah spekulasi liar dan tidak berasas.
Sumber itu sebaliknya menegaskan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kekal berpegang pada pendirian dan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menolak sebarang kerjasama dengan DAP, Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tiada sebarang pertemuan, (dakwaan bertemu Anwar) itu semua tidak benar. Ia sekadar spekulasi.
“Presiden (Ahmad Zahid) berpegang kepada keputusan MT parti (UMNO) bahawa tiada sebarang kerjasama dengan DAP, Anwar dan (Tun) Dr Mahathir Mohamad,” katanya, dipetik dari laporan tersebut.
Sementara itu, seorang ahli MT UMNO, dipetik dari laporan sama turut mengesahkan tiada sebarang mesyuarat diadakan berkaitan gerakan terbaru Anwar untuk meraih sokongan Ahli Parlimen.
“Tiada sebarang pertemuan ataupun mesyuarat diadakan bagi membincangkan kenyataan yang dibangkitkan Anwar itu.
“Sebelum ini pemimpin UMNO yang nama mereka dikaitkan telah memberi penjelasan, jadi kita tunggu dan lihatlah Selasa ini,” katanya.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen UMNO dan BN tampil menafikan penglibatan mereka dengan gerakan Anwar selepas senarai palsu MP yang didakwa menyokong Presiden PKR itu tular di laman sosial.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang namanya turut dimasukkan dalam senarai berkenaan dan kononnya bakal dilantik sebagai menteri dalam kabinet Anwar juga memberi reaksi sinis dan menjadikan senarai tersebut sebagai bahan jenaka dalam tulisan di Facebook beliau.
Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa ini untuk mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.
“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.
“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Anwar.
Suara.tv
Zahid Pegang Pendirian UMNO, Takkan Bersama DAP, Anwar & Mahathir – Laporan