LONDON: Mohamed Salah mengakui, masa depannya di Liverpool terletak ‘di tangan kelab’ dan dia ‘amat kecewa’ Reds terlepas pandang dirinya ketika memilih kapten dalam aksi Liga Juara-Juara menentang FC Midtjylland bulan ini.
Salah, 28, dijangka memakai lilitan ketua pasukan dalam aksi Kumpulan D, 9 Disember lalu selepas Jordan Henderson dan Georginio Wijnaldum memanaskan bangku simpanan manakala James Milner serta Virgil van Dijk kedua-duanya cedera.
Pengurus pasukan, Jurgen Klopp sebaliknya memilih pemain berusia 22 tahun, Trent Alexander-Arnold sebagai kapten dalam perlawanan yang menyaksikan Salah meledak gol seawal minit pertama dan Reds seri 1-1.
“Sejujurnya saya amat kecewa.
“Saya menjangkakan untuk menjadi kapten tetapi itu keputusan pengurus, saya terima,” kata Salah kepada Diario AS.
Salah sudah lama dikaitkan dengan perpindahan ke La Liga, yang mana Real Madrid dan Barcelona antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan bintang Mesir itu.
Salah mengharungi karier yang amat cemerlang sepanjang tiga tahun setengah bersama Liverpool sejak tiba di Anfield dari Roma pada 2017.
Semalam, Salah yang dibawa masuk sebagai pemain gantian meledak dua gol ketika membantu Liverpool membelasah Crystal Palace 7-0 di Selhurst Park.
Reds kini menerajui Liga Perdana dengan 31 mata, lima mata mengatasi Everton.