Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) hari ini memberi tempoh empat hari kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya meminta maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang menghina masyarakat Orang Asli yang berdemonstrasi di hadapan pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Baharu Ahad lepas.
Pengerusi JOAS Kelantan, Azmi Badol berkata jika tidak, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Nik Aziz.
“Kami rasa terhina apabila mendapat tahu Nik Aziz menganggap kami bodoh dan tidak tahu bagaimana hendak menempah bas sendiri dan menanggung kos tempahan bas itu. Beliau juga mengatakan kami ini bukan orang Kelantan.
“Ini bukan masalah Orang Asli di negeri lain… ini masalah Orang Asli negeri Kelantan, ini adalah tentang nyawa kami,” katanya kepada sidang media di sini, Jumaat.
Beliau menafikan dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa demonstrasi yang dijalankan kira-kira 400 penduduk Orang Asli dari 26 pos penempatan dari Gua Musang Hulu Kelantan Ahad lepas bagi menuntut kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka didalangi oleh pihak luar.
“Sekiranya MB betul-betul tahu pihak mana yang menghantar kami untuk berdemo di luar pintu pagar SUK, sila beritahu kepada kami kerana kami sendiri pun tidak tahu,” katanya.
Pada Selasa, Nik Aziz berkata beliau tidak akan melayan tuntutan kumpulan berkenaan dan mendakwa tindakan itu dilakukan oleh pihak luar yang iri hati ke atas kejayaan Kelantan yang selama ini melaksanakan tuntutan seperti yang diminta.