Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi nasihatnya agar pemimpin Umno membuang amalan cantas mencantas serta mengetepikan kepentingan diri supaya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Bekas Presiden Umno itu berkata kemenangan parti bererti kuasa dan kelangsungan BN memerintah negara tidak akan tergugat walaupun ada pemimpin yang terpaksa mengorbankan diri.
“Kekalahan Umno ibarat Melayu bangsa yang kehilangan kuasa di negara sendiri…. kita tidak boleh jadi bangsa yang berpecah-belah. Amat penting tenaga yang ada digembleng sepenuhnya.
“Saya yakin kita boleh menang jika amalan cantas mencantas dibuang terus dari dalam diri setiap orang Umno,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan dalam perjumpaan dengan pemimpin Umno seluruh Kedah di Dewan Wawasan di sini hari ini.
Sambil memberi nasihat supaya semua anggota parti menyokong siapa sahaja yang dipilih bertanding dalam pilihan raya, Dr Mahathir berkata mereka juga perlu menerima calon ‘payung terjun’ jika pucuk pimpinan memutuskan demikian.
Dr Mahathir turut berpendapat masa sesuai diadakan pilihan raya adalah selepas Hari Raya Aidilfitri.