RANTAU PANJANG – Kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak akhir-akhir ini menyebabkan pengusaha mi celup dan nasi air ‘telur gedik’ di Kelantan hampir menutup premis mereka.
Hal ini kerana setiap hidangan tersebut memerlukan telur sebagai bahan utama.
Peniaga mi celup dan nasi air telur gedik dari Kampung Kedap, Rohani Mat Ali, 54, berkata, ketiadaan bahan utama itu menyebabkan dia terpaksa menggantikan telur dengan ikan bilis dan isi ayam.
“Situasi itu menyebabkan ada pelanggan merungut kerana mereka sudah biasa makan nasi air dengan telur,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, masalah bekalan bahan mentah itu bermula awal Februari lalu menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan sepapan telur.
Katanya, dia terpaksa keluar masuk ke kedai-kedai runcit di kawasannya untuk mendapatkan bekalan telur.
“Bagaimanapun saya hanya boleh beli telur dengan pakej RM2 lima biji bagi gred D.
“Disebabkan itu, saya hampir berputus asa dan mahu menutup kedai kerana sukar mendapatkan telur,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Nastasha Mat Sid, 30, berkata, dia pernah berdepan kehabisan stok bahan mentah itu yang membuatkannya pening memikirkan cara untuk meneruskan perniagaannya.
Katanya, kesan itu amat dirasai semasa sambutan Tahun Baharu Cina awal bulan ini.
“Mujurlah ada menyimpan sedikit stok, dapatlah menampung permintaan pelanggan
“Sekarang ini telur ayam sangat berharga sehinggakan kami menggunakan ia untuk jualan sahaja,” katanya.
Sementara itu, penggemar mi celup, Muhammad Fattah Yusoff, 31, berkata, ketiadaan telur membuatkan hidangan mi celup atau nasi air tidak lengkap rasanya.
“Telur adalah lauk tambahan yang perlu ada dalam mi celup dan nasi air. Rasa telur itu yang membuatkan kedua-dua makanan itu lebih sedap selain kelazatan supnya.
“Saya pernah ‘berpuasa’ dari makan mi celup disebabkan ketiadaan telur,” katanya.