Kerajaan sukar menyekat kemasukan pendukung lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) ke negara ini kerana tidakan itu didalangi individu tertentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Katanya individu berkenaan juga bertanggungjawab “mengimport” masalah tersebut ke negara ini, termasuk membawa masuk pendukung LGBT antarabangsa Irshad Manji yang beragama Islam.
“Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memang bekerjasama dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) tetapi kita kena faham kehadirannya (Irshad Manji) dalam keadaan yang tak bertujuan, datang guna pas lawatan biasa dan kita sedang berusaha meminimumkan masalah ini.
“Kita memang sentiasa berusaha untuk tangani masalah ini sebab negara kita bebas dimasuki orang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Penerangan Umno Kedah, di sini petang Selasa.
Jamil Khir yang juga Ketua Penerangan Umno Kedah, berkata Jakim juga sedari awal menentang percubaan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga untuk mengadakan ‘Seksualiti Merdeka’.