PELABUHAN KLANG: Pemandu lori nyaris maut selepas lori yang dipandunya dihempap kontena yang terjatuh dari jejambat berdekatan susur keluar ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berusia 49 tahun dalam perjalanan ke Pulau Indah, dekat sini, sebelum kontena yang membawa muatan kotak kitar semula jatuh dan terkena bahagian hadapan lori yang dipandunya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 1.17 tengah hari dan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kontena terjatuh dari atas jejambat yang dianggarkan setinggi 40 kaki (12 meter) dan menghalang laluan ke Pulau Indah.
“Difahamkan, ketika kejadian, terdapat dua lori kontena melalui jalan berkenaan. Apabila kontena dari atas jejambat jatuh, ia menghempap belakang sebuah lori dan turut terkena bahagian hadapan lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang membawa kontena bermuatan sarung tangan itu tersepit di tempat duduknya bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut.