Peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan prospektus FGVH hari ini sempena penyenaraian gergasi perladangan itu, mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.
Sehubungan itu, Najib berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan akan memanipulasikan golongan peneroka dengan penyenaraian tersebut sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sebagai menepati amanah yang ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak
Hussein.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, saya dan rakan-rakan berjanji tidak akan sekali-kali membiarkan kemudaratan bukan sahaja kepada warga Felda tetapi juga kepada generasi terkemudian dan negara. Kita tetap akan memperjuangkan Felda sebagai institusi lambang kejayaan rakyat Malaysia,” katanya di sini.
Saham FGVH dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun ini.
Najib berkata penyenaraian FGVH mencatat dua detik bersejarah bukan sahaja kepada Felda tetapi juga negara apabila penyenaraian itu merupakan yang terbesar di Asia pada tahun ini dan tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan yang kedua terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila langkah penyenaraian itu telah mencetuskan penerimaan yang luar biasa dan kini pihak Felda berdepan dengan satu masalah baru iaitu memenuhi kepuasan semua pihak yang memohon saham FGVH.
“Walaupun orang kata, ini satu masalah yang menyenangkan, ini adalah masalah kejayaan tetapi juga terpaksa membuat keputusan yang sebaik dan seadil mungkin,” katanya.
Beliau berkata, penyenaraian itu akan melonjakkan FGVH untuk menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia apabila menarik minat dua buah syarikat komoditi utama
di Eropah iaitu Louis Dreyfus Commodities Asia dan Vitol Group untuk menjadi rakan kongsi strategik.
Beliau berkata, FGVH berada dalam kedudukan yang baik untuk menggunakan kedudukannya sebagai pengendali minyak sawit ketiga terbesar di dunia melalui pemilikan 49 peratus saham dalam Felda Holdings Bhd dan untuk berkembang dengan lebih maju.
Katanya, selain akan menguntungkan Felda dan peneroka, penyenaraian itu juga akan membawa keuntungan kepada rakyat Malaysia kerana badan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera juga akan memiliki saham FGVH.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bukan sahaja dapat melimpahkan kemakmuran dan kejayaan Felda tetapi juga bagi kemakmuran rakyat dan negara.
Sehubungan itu, beliau berharap agar peneroka Felda terus memberi keyakinan kepada penyenaraian itu dengan melabur dan menyimpan saham mereka bagi jangka panjang.
“Ingatlah, jika kita tabah dan sabar, Insya-ALLAH, Tuhan akan menambah rezeki kita sepertimana ketabahan sebagai peneroka. Para peneroka hari ini merupakan golongan yang sudah mendapat pendapatan sederhana dan segala kemudahan telah dapat kita sediakan selama ini. Saya percaya, pemilikan saham ini akan menambah jumlah pendapatan,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa pusingan kedua durian runtuh sebanyak RM5,000 kepada isteri peneroka akan diberi pada 7 Julai ini sempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda.
Awal bulan ini, Perdana Menteri mengumumkan pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka yang melibatkan tiga fasa, iaitu RM5,000 bagi ketua keluarga yang telahpun diagihkan, manakala RM10,000, iaitu masing-masing RM5,000 kepada isteri peneroka dan anak peneroka akan diagihkan mengikut fasa.