REMBAU: Seorang pemandu lori maut manakala tujuh anggota polis cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 225, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu mangsa Mohd Zaki Taib, 47, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Beliau berkata, salah seorang anggota polis yang terlibat juga mengalami kecederaan parah dan berada di zon merah Hospital Melaka bagi menerima rawatan.
“Kemalangan membabitkan sebuah van pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Utara, sebuah lori dan dua lagi kenderaan lain yang mana van yang dinaiki tujuh anggota polis ini dalam perjalanan ke IPD Klang Selatan untuk mengambil tahanan.
“Siasatan awal mendapati lori yang dalam perjalanan dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh memandu di lorong tengah sebelum mengubah laluan ke lorong laju dan menghimpit dua kenderaan lain jenis Toyota Camry dan Perodua Alza.
“Lori berkenaan kemudian melanggar besi penghadang lebuhraya di bahagian tengah dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah van milik PDRM yang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut katanya, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Rembau dan proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi esok selain seorang anggota polis yang parah dihantar ke Hospital Melaka.
Manakala mangsa-mangsa lain yang cedera turut dihantar ke Hospital Rembau dan Melaka serta Hospital Alor Gajah dan Hospital Seremban.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.